KOTA BELUD: Seramai 17 penduduk Kampung Lingkodon, di sini, dipindahkan selepas kawasan perkampungan mereka dilanda banjir, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bencana banjir pada jam 9.53 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi untuk membantu.
“Terdapat 17 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan oleh pasukan bomba ke pusat pemindahan sementara (PPS) SK Pekan dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa yang dipindahkan membabitkan sembilan wanita dan seorang lelaki dewasa serta tujuh kanak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 1.20 pagi. – Info X