Search

17 premis judi dipotong bekalan elektrik di Penampang

November 20, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis dan Sabah Electricity memotong bekalan elektrik di 17 premis yang menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini, semalam.

Operasi pemotongan bekalan elektrik itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan dibantu empat petugas Sabah Electricity.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua premis berkenaan sudah diambil tindakan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini.

“Semua serbuan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bekalan elektrik di premis perjudian di Penampang dipotong oleh petugas Sabah Electricity. – Foto/PDRM

Menurutnya, tindakan ini merupakan salah satu tindakan serius dan komitmen IPD Penampang dalam membanteras sebarang aktiviti perjudian haram di daerah ini selaras di bawah peruntukan Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang didapati melanggar undang-undang.

“Kita akan sentiasa melakukan operasi dan turut berharap orang ramai berkongsi maklumat sekiranya mengetahui kewujudan aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan jenayah boleh menyalurkan maklumat berkenaan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Penampang di talian 088-712222,” katanya. – Info X