Search

175 kontinjen sertai perbarisan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri

August 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 175 kontinjen disenarai menyertai perbarisan lintas lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada tahun ini.

Ketua Urusetia Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2024, Dayang Selha Ibrahim, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan 50 kontinjen berbanding 125 kontinjen tahun lalu.

Katanya, kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi dan kementerian persekutuan serta negeri, selain sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi lain.

“Sebenarnya banyak acara menarik yang disediakan bagi sambutan 31 Ogos ini, semuanya sudah diatur, antaranya acara perbarisan.

“Kita juga ada kelainan dan kejutan pada tahun ini. Untuk mengetahui apa kejutan itu, orang ramai dijemput hadir bersama di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu,” katanya selepas sesi temubual segmen ‘Morning Kinabalu’ di konti Kupi-Kupi FM bersama DJ Niz dan Felix Agus, semalam.

Dayang Selha menjawab soalan diajukan DJ Niz dan Felix mengenai persiapan sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah. – Foto/Jabatan Penerangan Sabah

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Sabah, Dr Diana Dominic dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keurusetiaan Jabatan Penerangan Sabah, Siti Mariam Aziz.

Sementara itu, Dayang Selha berkata, selain acara Hari Kebangsaan, sambutan 31 Ogos kali ini turut diisi dengan program Hari Sabah pada sebelah malam.

Katanya, antara pengisian yang diatur ialah konsert dan perarakan kereta berhias di bawah anjuran Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) negeri.

“Kita harapkan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 disambut dengan meriah dengan kehadiran orang ramai untuk sama-sama menyaksikan acara yang diatur pihak penganjur.

“Sama-sama kita war-warkan kepada semua orang untuk datang, bawalah saudara mara dan anak-anak yang belum pernah melihat bagaimana meriahnya sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini.

“Saya berharap dengan adanya sambutan seperti ini akan dapat menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum di sabah ini,” katanya.

Dayang Selha yang juga Setiausaha Rendah Bahagian Pemantauan Agensi Awam dan Pelaburan, Kementerian Kewangan Negeri Sabah (MOF) berkata Kementerian Kewangan negeri dilantik sebagai penganjur bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.

“Sebenarnya ini adalah penganjuran kali kedua di bawah Kementerian Kewangan bagi Hari Kebangsaan, jadi kita sangat bersyukur dan menyahut cabaran ini .

“Jawatankuasa Induk penganjur dipengerusikan Menteri Kewangan Sabah sendiri, Datuk Seri Masidi Manjun,” katanya. – Info X