KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) negeri membeli 18 lori trak baharu bagi menambah baik perkhidmatan di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
PBT terbabit ialah Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Daerah Semporna, Majlis Daerah Keningau, Majlis Daerah Beaufort, Majlis Daerah Sipitang, Majlis Daerah Ranau, Majlis Daerah Kinabatangan, Majlis Daerah Tuaran, Majlis Daerah Tenom, Majlis Daerah Kota Marudu, Majlis Daerah Kota Belud dan Majlis Daerah Pitas.
Kenderaan itu diserahkan secara rasmi oleh Universal Motor Sdn Bhd pada majlis yang diadakan di sini, hari ini dengan disaksikan Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, Stanley Chong yang mewakili Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Dr Jamili Nais.
Dalam ucapannya yang dibacakan Stanley, Jamili menekankan kepentingan kenderaan berat terbabit dalam menambah baik perkhidmatan asas PBT.
“Lori trak ini secara signifikan mengukuhkan keberkesanan dan produktiviti, khususnya mengangkut sisa pepejal dari kawasan perumahan, komersial dan perindustrian ke tapak pelupusan,” katanya.
Hadir sama Pengarah Urusan Universal Motor, Datuk Chok Yun Kiong.

Jamili berkata, pemilihan 12 PBT untuk menerima kenderaan itu pula berdasarkan keperluan mendesak bagi menggantikan peralatan yang tidak lagi berfungsi, sekali gus menyelesaikan jurang kritikal dalam operasi PBT.
“Inisiatif ini sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan usaha memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Kerajaan kekal komited untuk melonjakkan pembangunan negeri, memperkasa PBT dan membina tenaga kerja berkebolehan untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu sejajar dengan Pelan Strategik 2021-2025 yang menyasarkan usaha mengukuhkan infrastruktur logistik dan perkhidmatan PBT di seluruh negeri.
Jamili turut menggesa Pegawai Eksekutif PBT untuk memaksimumkan penggunaan kenderaan terbabit sambil memastikan aspek penyelenggaraan yang betul bagi manfaat jangka panjang. – Info X