KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan ada mengeluarkan notis pemutihan atau pendaftaran pekerja asing Smart Sabah yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata, pihaknya juga mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak terpedaya sekiranya menerima sebarang mesej pesanan sama ada melalui platform pemesejan seperti di WhatsApp ataupun di mana-mana platform sosial media berkenaan makluman terbabit.
Katanya, JIM Sabah ambil maklum dengan notis berkenaan program pemutihan atau pendaftaran pekerja asing Smart Sabah yang dijalankan di Pejabat Ladang Desa Teh, Ranau pada hari ini bersamaan 18 Disember 2024.
“JIM Sabah ingin menafikan penglibatan pegawai Imigresen berhubung program yang dinyatakan itu.
“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang kandungan mesej melalui WhatsApp mahupun di platform sosial media yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan ini adalah bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa kepada aktiviti berunsur pemalsuan dan penipuan.
“Individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Seksyen 505, Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Dalam notis terbabit, program pemutihan atau pendaftaran pekerja asing Smart Sabah didakwa akan dijalankan bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang 18 Disember di Pejabat Ladang Desa Tea dengan bayaran yang dikenakan kepada individu sebanyak RM850 manakala RM280 untuk isteri atau anak.
Notis terbabit juga menyatakan bayaran boleh dibuat secata terus kepada pegawai Imigresen semasa sesi pendaftaran dan tertera notis ‘hanya yang telah memberi nama kepada saya (Tn Durrani) layak untuk mendaftar’.
Pada akhir notis mendakwa pejabat ladang terbabit dipilih sebagai tuan rumah untuk menjadi pusat pendaftaran dan dianggarkan seramai 200 PTI dari pelbagai estet seluruh Ranau akan hadir ke Pejabat Ladang Desa Tea.
Turut tertera notis memaklumkan jemputan bagi isteri-isteri pekerja Desa Tea untuk menjual makanan pada hari tersebut bagi mengelakkan semua PTI pergi membeli makan di restaurant manakala meja dan kerusi akan disediakan di bawah parking motor pejabat ladang. – Info X