Search

Suami isteri dalang edar dadah diberkas di Tawau

December 18, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Kegiatan suami isteri menjalankan aktiviti pengedaran dadah akhirnya terbongkar apabila pasangan terbabit ditahan polis di kawasan Bandar Tawau, di sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek warga asing berusia lingkungan 20-an dan 40-an ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 10.15 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu adalah hasil daripada tindakan susulan penahanan dua individu warga tempatan berusia 29 dan 35 tahun.

Susulan itu katanya, pasukan operasi berjaya mengenal pasti dua lagi suspek di sekitar Jalan Kalabakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap Kedua-dua suspek warga asing yang bekerja sebagai buruh ladang itu menemui satu bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 503.70 gram yang dianggarkan bernilai hampir RM17,000.

“Semua suspek bersama barangan rampasan itu dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi juga turut merampas sebuah kunci kereta Perodua Bezza yang digunakan oleh suspek.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua suspek warga asing didapati positif dadah jenis syabu manakala dua suspek warga tempatan itu negatif dari sebarang jenis dadah.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi memastikan rangkaian pengedaran dadah ini dapat ditangani sepenuhnya.

“Tindakan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha polis dalam membanteras jenayah dadah di negeri ini terutama di Tawau,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, pihaknya menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dalam memerangi jenayah mahapun dadah dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti di daerah ini terjaga. – Info X