KOTA KINABALU: Ribuan rakyat menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman di perkarangan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
Tun Musa yang menaiki pesawat khas Jet Gulfstream G5000 dari Kuala Lumpur, selamat tiba di KKIA pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi dengan diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Ketibaan beliau disambut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Ariffin Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib serta beberapa pembantu menteri.

Turut hadir mengalu-alukan ketibaan Musa ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan bekas Ketua Menteri yang juga Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Semalam, Tun Musa menerima Surat Cara Pelantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Tinjauan di sekitar Terminal 2 KKIA sejak pagi tadi mendapati, orang ramai mula berkumpul seawal jam 8 pagi, dengan sebahagiannya membawa kain rentang dan peralatan muzik tradisional bagi menunjukkan sokongan kepada TYT baharu itu.
Sementara itu, mengulas mengenai situasi di Terminal 2 KKIA, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kehadiran orang awam melebihi jangkaan pihak polis, namun terkawal.
“Kita jangkakan ada lebih kurang 3,500 ke 4,000 orang tadi. Ramai, di luar jangkaan kita. Kita jangkakan di antara 2,000 ke 2,500 tadi tetapi lebih daripada ‘expectation’ kita.
“Sebab daripada semua daerah datang. Jadi, petugas-petugas kita hari ini termasuk dengan kawalan trafik dan kawalan manusia ada lebih kurang 150 orang. Alhamdulillah, tiada apa kekecohan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan KKIA selepas selesai majlis sambutan Tun Musa.
Kasim berkata, keadaan pekarangan Terminal 2 KKIA yang sempit menyebabkan polis terpaksa mengawal kemasukan orang awam bagi mengelak kesesakan.
Katanya, ia hanya dibuka kira-kira 30 minit selepas segala aspek keselamatan dan keselesaan orang awam di lokasi.
“Sebab, semua tidak dibenarkan masuk, kawasan terlalu sempit. Kita bimbang juga berlaku kekecohan Itu sebab kita tak benarkan awal masuk.
“Kemudian, kita berikan kebenaran masuk untuk memberi keselesaan kepada mereka. Kalau kita benarkan awal, mungkin akan melimpahlah tadi.
“Saya dapat tahu daripada semalam lagi mereka dah hadir di sini. Dari Sandakan, Beaufort, Keningau, daripada Tawau pun ada,” katanya.

Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah dari 2003 hingga 2018 itu dijadual mengangkat sumpah sebagai TYT Ke-11 di Istana Seri Kinabalu pada 1 Januari depan. – Info