LABUAN: Sebanyak 18 pesawat pejuang ringan FA-50M yang diperoleh Malaysia daripada Korea Aerospace Industries (KAI), Korea Selatan, akan menggantikan pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dijadual ditamatkan perkhidmatannya pada 2028.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan bernilai hampir RM4 bilion itu dimeterai pada 2023 dan menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara.
Beliau berkata, pesawat FA-50M bukan sahaja berfungsi sebagai pesawat latihan juruterbang pejuang, malah mampu melaksanakan operasi pemintasan serta pelbagai tugasan tempur ringan mengikut keperluan semasa.

“Dua pesawat pertama dijadualkan tiba di Malaysia hari ini selepas berlepas dari Sacheon, Korea Selatan, melalui Jeju dan Laoag, Filipina.
“Bagaimanapun, masalah teknikal menyebabkan hanya sebuah pesawat dapat meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Labuan hari ini, manakala sebuah lagi dijangka tiba seawal esok,” katanya ketika menyaksikan penghantaran pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Labuan, di sini, hari ini.
Katanya, ketibaan pesawat FA-50M turut diiringi formasi enam pesawat TUDM yang terdiri daripada dua Su-30MKM, dua F/A-18D Hornet dan dua Hawk.
“Ini satu detik yang sangat bermakna kepada negara kerana pesawat pejuang ini mempunyai keupayaan lebih baik berbanding pesawat Hawk yang kita gunakan sebelum ini.
“Pesawat FA-50M yang diperoleh juga dilengkapi pelbagai peralatan dan sistem persenjataan bagi melaksanakan operasi udara-ke-udara serta udara-ke-darat,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia dijangka menerima enam pesawat FA-50M sebelum April 2027, manakala keseluruhan 18 pesawat itu dijadualkan diterima sepenuhnya pada Mac 2028.
Katanya, pesawat berkenaan akan dikendalikan No. 15 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Kuantan dengan persediaan pengoperasian melibatkan keperluan anggota, kejuruteraan, operasi dan juruterbang.
“Daripada keseluruhan 209 anggota yang diperlukan, seramai 127 anggota sudah tersedia setakat ini, manakala pengisian baki keperluan akan dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan penerimaan pesawat.
“Dalam aspek pembangunan modal insan, seramai 57 anggota teras TUDM sudah mengikuti latihan di Korea Selatan, terdiri daripada enam juruterbang, enam pegawai kejuruteraan dan 45 juruteknik.
“Kesemua enam juruterbang dalam kumpulan latihan awal itu turut menamatkan program latihan penerbangan pada 21 Oktober 2026,” katanya.
Beliau berkata, Pesawat FA-50M ialah pesawat supersonik dua tempat duduk yang menggabungkan keupayaan latihan penerbangan lanjutan dan operasi tempur ringan.

“Varian Malaysia turut dilengkapi sistem serta teknologi penerbangan moden bagi meningkatkan keupayaan operasi, termasuk pelaksanaan misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.
“Program perolehan itu turut merangkumi pakej latihan, penggunaan simulator, peralatan latihan teknikal dan sokongan penyelenggaraan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi pesawat berkenaan,” katanya.
Mengulas kemungkinan perolehan tambahan, Mohamed Khaled berkata, kerajaan sememangnya memerlukan lebih banyak pesawat pejuang jenis itu, namun keputusan mengenai jumlah dan jenis pesawat akan ditentukan selepas penilaian terhadap keperluan operasi serta prestasi kumpulan pertama.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengukuhan pertahanan di Sabah turut menjadi keutamaan kerajaan dan bukan semata-mata sebagai reaksi terhadap langkah pertahanan negara jiran.
“Malaysia akan terus memperkukuh keupayaan keselamatan negara, khususnya di Sabah, termasuk menentukan penempatan pesawat pejuang selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatannya.
“Selain itu, kerajaan turut memutuskan untuk menyediakan radar pesisir pantai baharu di Sabah serta meningkatkan keupayaan radar pertahanan udara di Labuan dan Pulau Layang-Layang.
“Jumlah anggota keselamatan di Sabah yang kini sekitar 10,000 orang juga akan ditingkatkan, selain pembangunan kem baharu dan menaik taraf kem sedia ada,” katanya. – Info X