PENAMPANG: Projek naik taraf Jalan Buayan dan Jalan Terian, di sini, dijangka siap mengikut jadual, masing-masing pada Ogos 2027 dan Mei 2028.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata ia berdasarkan prestasi projek ketika ini yang masing-masing mendahului jadual sebanyak 45 dan 58 hari.
Beliau berkata, projek naik taraf Jalan Buayan dengan peruntukan sebanyak RM73.868 juta setakat ini mencapai kemajuan 76.64 peratus, manakala projek naik taraf Jalan Terian yang bernilai RM99.395 juta mencapai kemajuan 57.83 peratus.

Setakat ini, katanya tiada sebarang lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan bagi projek naik taraf Jalan Buayan, manakala satu EOT bagi Jalan Terian.
Berikutan itu, katanya beliau berpuas hati dengan pencapaian projek itu setakat ini dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya bersama-sama ADUN Moyog, Datuk Donald Mojuntin berpuas hati dengan kemajuan kedua-dua projek yang mendahului jadual ini.
“Kami mewakili rakyat Penampang, khususnya komuniti di mukim ini, berharap kedua-dua projek dapat diteruskan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, iaitu pada Mei 2028 bagi Jalan Terian dan Ogos 2027 bagi Jalan Buayan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di kedua-dua projek berkenaan, di sini, pada Jumaat.

Turut menyertai tinjauan itu ialah wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sabah serta Majlis Perbandaran Penampang.
Ewon berkata, prestasi semasa kedua-dua projek memberikan keyakinan pelaksanaannya dapat diselesaikan mengikut jadual.
“Berdasarkan prestasi semasa, kami yakin kedua-dua projek ini dapat disiapkan mengikut jadual tersebut,” katanya.
Beliau merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kewangan dan KKDW selaku kementerian yang bertanggungjawab menyediakan peruntukan serta melaksanakan kedua-dua projek itu.

“Di kawasan ini terdapat dua buah sekolah, iaitu SK Terian dan SK Buayan. Sebuah lagi sekolah terletak kira-kira 12 kilometer dari sini iaitu SK Longkogungan. Ini bermakna terdapat tiga buah sekolah yang akan menikmati manfaat kemudahan jalan raya ini,” katanya.
Katanya, kemudahan itu nanti bakal memberikan keselesaan kepada sekitar 3,000 penduduk di Kampung Terian, Tiku, Buayan dan Longkogungan.
“Dengan adanya jalan raya yang lebih baik, komuniti setempat dapat membangunkan tanah mereka untuk kegiatan pertanian dan pelancongan.
“Apabila aktiviti pelancongan dan ekonomi di kawasan ini berkembang, sudah tentu ribuan lagi pengunjung akan menggunakan jalan raya ini,” katanya. – Info X