LABUAN: Polis menahan 18 lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di luar gelanggang futsal di kawasan Jalan Tanjung Purun, di sini, semalam.
Lelaki tempatan berusia 17 hingga 32 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Robin@Ridzuan Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 petang ketika perlawanan dua pasukan sedang berlangsung.

Katanya, susulan kejadian itu, polis menahan seramai 18 lelaki tempatan disyaki terbabit dalam pergaduhan berkenaan.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat provokasi antara penyokong dan pemain sehingga mencetuskan pergaduhan.
“Akibat kejadian itu, seorang mangsa alami kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya meminta saksi kejadian tampil ke Balai Polis Labuan bagi memberikan keterangan.
“Orang ramai yang terbabit dalam sebarang program perlawanan supaya bermain dengan semangat kesukanan dan mengekalkan keharmonian tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Semalam, tular rakaman video menunjukkan kekecohan berlaku di kawasan luar gelanggang futsal di Jalan Tanjung Purun. – Info X