KOTA KINABALU: Subsidi tiket penerbangan yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam akan memberi manfaat kepada kira-kira 18,000 pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian tinggi di Semenanjung, Sabah dan Labuan.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata subsidi sekali bayar sebanyak RM600 seorang itu dapat membantu pelajar pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga pada Aidilfitri nanti.
“Saya menyambut baik pengumuman Ketua Menteri berkaitan subsidi tiket penerbangan yang berjumlah RM10 juta untuk semua pelajar Sabah yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
“Subsidi tiket penerbangan ini akan memberi manfaat kepada sekitar 18,000 pelajar. Pemberian subsidi ini akan membantu pelajar pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tersayang menjelang Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pemberian subsidi tiket penerbangan sekali bayar sebanyak RM600 kepada pelajar IPT Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan sempena majlis berbuka puasa bersama pelajar Sabah di Pulau Pinang.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata selain subsidi itu, pengumuman kerajaan negeri mengenai peruntukan pendidikan sebanyak RM67.4 juta kepada Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun ini juga bakal memberi manfaat yang besar kepada pelajar negeri ini.
“Peruntukan itu bagi membantu anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara dan jumlahnya meningkat sebanyak RM13.6 juta berbanding peruntukan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, pengumuman penting itu membuktikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus di bawah kepemimpinan Hajiji serius dalam membantu dan meningkatkan pendidikan anak-anak Sabah.
Katanya, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Sabah melalui pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.
“Semoga dengan usaha-usaha yang diambil kerajaan Sabah ini akan meningkatkan semangat anak-anak Sabah untuk terus mengejar dan mencapai impian mereka,” katanya. – Info X