Search

UPPM bersama KTC teruskan majlis berbuka Puasa bersama golongan kurang bernasib baik di Putatan

March 26, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan syarikat Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Bhd meneruskan majlis berbuka puasa yang dianjurkan bersama pada Ramadan ini di Parlimen Putatan, semalam.

Majlis yang diadakan di Dewan Sri Putatan itu adalah lokasi yang ke-10 daripada 25 kawasan Parlimen di seluruh negeri dengan misi untuk sama-sama meraikan dan membantu golongan kurang bernasib baik.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang dan Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau bersama pemimpin UPPM bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat.

Shahelmey bersama Awang Kadin, Dexter Lau dan pemimpim UPPM Petagas, Tanjung Aru serta Tanjung Keramat menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik sempena majlis berbuka puasa di Putatan.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

Mengulas penganjuran program berkenaan, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata ia satu inisiatif kerjasama kerajaan dan swasta yang baik di antara UPPM dan KTC sepanjang Ramadan kali ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan dan ADUN Tanjung Keramat, turut mengingatkan anggota UPPM, khususnya di ketiga-tiga kawasan DUN dalam Parlimen Putatan supaya terus komited melaksanakan tugas kepada masyarakat.

“Semua kakitangan UPPM yang ada di ketiga-tiga DUN ini perlu terus komited dan fokus dalam gerak kerja berjumpa dengan masyarakat di seluruh kawasan Putatan.

“Ini penting kerana UPPM adalah satu daripada pejabat wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat, jadi mereka perlu mengenal pasti dan memahami dari semasa ke semasa isu yang berlaku di kawasan masing-masing seperti prasarana, pendidikan, sosial, keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Awang Kadin berkata, Putatan adalah lokasi ke-10 program buka puasa anjuran UPPM dan KTC sebelum diteruskan lagi ke lokasi lain sepanjang Ramadan kali ini.

Katanya, UPPM juga menghargai peranan yang dimainkan KTC dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dexter Lau dalam memberikan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Sesugguhnya sumbangan ini bukan saja memberi kegembiraan kepada penerima, tapi memudahkan urusan pengagihan sumbangan kepada golongan sasar.

“Pada hari ini penerima sumbangan terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan fakir miskin yang akan menerima bantuan,” katanya. – Info X