Search

182 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal

April 12, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seramai 182 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 9, melalui Pelabuhan Tawau, semalam.

Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau dihantar ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon, Indonesia menggunakan pengangkutan laut.

PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka di Pelabuhan Tawau, semalam. – Foto JIM

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 145 lelaki, 31 wanita dan enam kanak-kanak.

“Jumlah pecahan mengikut usia bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah membabitkan 12 bulan ke bawah manakala bagi dewasa dari 13 hingga 57 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa/penjaga masing-masing.

“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri Nunukan Express dan Malindo Express,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Semua 182 PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal mereka. – Foto JIM

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

Feri Nunukan Express dan Malindo Express yang digunakan menghantar PATI pulang ke negara asal. – Foto JIM

“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – Info X