Search

Tiada unsur sabotaj didapati dalam nahas ‘Double Six’

April 12, 2023

admin

KOTA KINABALU: Laporan akhir siasatan nahas ‘Double Six’ pada 1976 yang mengorbankan 11 orang, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Allahyarham Tun Fuad Stephens menyatakan tiada unsur sabotaj didapati dalam kes terbabit.

Menurut laporan itu, pesawat berkenaan diselenggara mengikut jadual dan muatannya juga mengikut had berat yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan, kedudukan pusat graviti pesawat terbabit di luar had buritan kapal.

“Prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional,” kata laporan.

Selain itu, ujian patologi terhadap juruterbang pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976 membuktikan beliau cukup layak untuk terbang pada ketika itu.

Laporan akhir nahas udara itu yang dinyahklasifikasikan hari ini mendedahkan juruterbang berkenaan tidak mengalami kesan daripada alkohol atau dadah.

Bagaimanapun, terdapat bukti lain yang menunjukkan juruterbang itu penat dan mengalami sakit perut ringan.

Terdahulu, laporan setebal 21 muka surat itu mula didedahkan kepada umum, hari ini, dengan pautannya boleh didapati menerusi laman web rasmi Kementerian Pengakutan di pautan https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad.

Menterinya, Anthony Loke, berkata proses nyahklasifikasi laporan terbabit selesai pada 6 April mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum ia dimuat naik untuk dilihat oleh orang awam.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu.

Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, di sini.

Mereka yang maut termasuk Menteri Kabinet Sabah, Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi. – Info X