Search

19 PATI warga Pakistan ditahan di Skim Penempatan Telipok

May 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan dalam ‘Ops Sapu Khas’ di kawasan rumah tidak bernombor di Skim Penempatan Telipok, di sini, hari ini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 11 pagi itu membabitkan seramai 24 anggota dan pegawai pelbagai pangkat, JIM Sabah.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan.

PATI warga Pakistan ditahan JIM dalam Ops Sapu Khas di Skim Penempatan Telipok.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi bergerak ke lokasi dan seramai 19 PATI ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua PATI yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dewasa warganegara Pakistan.

“Semua mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut kerana dipercayai melanggar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) dibawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

19 PATI warga Pakistan ditahan kerana melanggar Akta Imigresen dalam Ops Sapu Khas di kawasan rumah tidak bernombor di Skim Penempatan Telipok.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing secara tidak sah untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Katanya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Ia seperti di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan menetap di negara ini,” katanya. – Info X