Search

Perutusan Kaamatan: Hormati perbezaan untuk ikatan perpaduan yang lebih kuat – Hajiji

May 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta rakyat Sabah sentiasa menghormati perbezaan bagi membina satu ikatan perpaduan yang lebih kuat.

Menerusi perutusan sempena sambutan Kaamatan, beliau berkata ikatan perpaduan akan lebih kuat dan kukuh jika rakyat terus bersatu.

“Justeru itu, saya menyeru kepada rakyat untuk terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi untuk perkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kelancaran pembangunan negeri yang tercinta ini.

“Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama tetapi juga untuk menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik.

“Namun, lebih daripada itu, Kaamatan adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya.

Bertemakan ‘Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’, beliau berkata tema Kaamatan 2025 itu membawa mesej yang sangat mendalam dan
inklusif.

“Tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti tetapi satu perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” katanya. – Info X