PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai 119,400 dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di daerah ini, semalam.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 31 dan 49 tahun.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan pasukan serbuan di premis hiburan itu menemui pelbagai jenis dadah.
“Antaranya, serbuan dipercayai dadah jenis ekstasi seberat 5,727 gram, ketamin (32.58 gram), pil eremin 5 (18 biji seberat 6.23 gram) dan pil ekstasi (11 biji seberat 5 gram).
“Nilai keseluruhan rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM119,400,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine manakala suspek kedua positif dadah jenis methamphetamine, Amphetamine dan ketamin.
“Hasil semakan jenayah lampau turut mendapati salah seorang suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata polis juga menyarankan kepada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai jenayah dadah untuk segera melaporkan kepada pihak polis. – Info X