TAWAU: Selepas dikejar sejauh 45 kilometer (km) dari kawasan Industri Megah, Jalan Tiku, di sini, akhirnya lima individu warga asing berjaya ditahan polis selepas melarikan diri dari sekatan jalan raya (snapcheck), malam semalam.
Kejadian berlaku pada jam 8 malam, ketika anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sedang menjalankan tugas snapcheck di kawasan berkenaan, sebuah kereta jenis Proton Saga warna putih dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Anggota bertugas kemudian mengarahkan kereta itu berhenti namun pemandu terbabit bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya dan terus memecut laju.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya segera mengejar kereta berkenaan dan melalui beberapa laluan utama sekitar daerah ini.
“Ini termasuk Jalan Timur, Kem Pengakap Tiku, Jalan Bunga Raya, Jalan Chong Thien Vun dan akhirnya menghala ke Jalan Apas sebelum berjaya ditahan di Batu 12, Jalan Apas, sejauh kira-kira 45 km.
“Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu menemui lima individu terdiri daripada seorang lelaki yang memandu kereta dan empat penumpang iaitu dua lelaki dan dua wanita.
“Semua dipercayai warganegara asing berusia 29 hingga 43 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.
“Mereka juga gagal menunjukkan lesen memandu dan cukai jalan bagi kenderaan yang digunakan. Semua mereka kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana melarikan diri daripada sekatan jalan raya, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan berada di Malaysia tanpa dokumen sah,” katanya.
Selain itu, katanya lagi pemandu kereta terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen serta tanpa cukai jalan yang sah.
Aksi kejar mengejar itu turut tular di media sosial Facebook selepas orang awam yany merakam kejadian itu memuat naik video berkenaan.

Jasmin berkata, sepanjang kejadian itu, tiada sebarang kecederaan berlaku ke atas suspek mahupun anggota polis yang menjalankan tugas berkenaan.
“Polis memandang serius tindakan melanggar undang-undang dan menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis terutamanya dalam operasi sekatan jalan raya,” katanya. – Info X