KOTA KINABALU: Seramai 196 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, esok.
Proses pengundian awal dijadual berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, melibatkan satu saluran mengundi.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan petang sepanjang hari pengundian.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (bebas).
Sementara itu, PRK DUN Lamag melibatkan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian. – Info X