TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan mengugut ibu kandungnya sendiri dengan menggunakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Vietnam, Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah malam apabila suspek yang juga anak kepada mangsa bertindak agresif susulan perselisihan keluarga.
Menurutnya, suspek berusia lingkungan 30-an membawa sebilah parang dan lastik selain bertindak merosakkan dinding rumah, menyebabkan ibunya yang berusia 60-an berasa takut dan terancam.
“Ibu mangsa yang berusia 60-an kemudian tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan susulan ugutan yang diterima.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 4.30 petang di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, polis turut merampas sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan masalah keluarga dan segera membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan diri serta ahli keluarga. – Info X