TAWAU: Seorang lelaki bersama adiknya ditahan polis selepas mengugut bapa mentuanya dengan menggunakan pedang samurai dan parang dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku apabila kedua-dua suspek datang ke rumah mangsa sebelum bertindak agresif dan mengeluarkan ugutan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek utama yang juga menantu mangsa dilihat memegang pedang samurai manakala adik lelakinya membawa parang, menyebabkan mangsa berusia 63 tahun berasa terancam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila isteri suspek utama, yang juga anak perempuan mangsa, ingin bermalam di rumah bapanya namun tidak dipersetujui suspek sebelum berlaku pertengkaran.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Merotai Besar.
Jasmin berkata, suspek utama berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan ugutan dan pecah masuk, manakala suspek kedua berusia 27 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan, keganasan atau penggunaan senjata berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran undang-undang dan segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi berbahaya,” katanya. – Info X