Search

2 lelaki Filipina ditahan terbabit aktiviti bom ikan

January 19, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Tindakan dua lelaki warga Filipina menangkap ikan menggunakan bahan letupan menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 41 dan 44 tahun ditahan kapal peronda APMM di kedudukan 1.0 batu nautika selatan Pulau Tiga, jam 10.30 malam.

Pengarah APMM Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, penahanan itu hasil maklumat risikan dan aduan awam serta operasi bersepadu bersama pihak Taman-Taman Sabah (TTS).

Katanya, kapal peronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan operasi khas di sekitar perairan Pulau Tiga berjaya menahan sebuah bot jenis kayu tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan terhadap bot berkenaan menahan dua lelaki dipercayai warga Filipina yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Turut ditemukan tiga botol berisi serbuk putih (Ammonium Nitrate) yang dipercayai digunakan untuk bom ikan beserta dua tong untuk menyimpan hasil tangkapan ikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Peralatan bom ikan dirampas di dalam bot dinaiki suspek. – Foto/APMM

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kayu serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM20,000.

Katanya, rampasan bot dan dua lelaki yangn ditahan diiring ke Jeti Maritim Labuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Aktiviti mengebom ikan adalah satu aktiviti yang bukan sahaja diharamkan dari segi undang-undang, malah turut memusnahkan ekosistem marin serta membunuh hidupan marin dan nyawa manusia,” katanya. – Info X