KOTA MARUDU: Luluh hati apabila melihat dua murid dan dua guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai, kira-kira 70 kilometer dari sini, yang bukan sahaja terpaksa melalui jalan berlumpur, malah terpaksa bermalam di pondok sebuah kebun.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk kembali mengikuti sesi persekolahan di sekolah berkenaan, beberapa hari lalu.
Perkara itu dikongsi seorang guru SK Magandai menerusi hantaran video di Facebook, baru-baru ini.
Menurut guru yang menggunakan nama akaun Moniq Cfrndz, dua beradik murid tahun dua dan tahun tiga itu pada awalnya ditumpangkan guru yang sama-sama menuju ke sekolah itu, namun kenderaan guru terbabit rosak ketika dalam perjalanan berikutan jalan yang teruk.
Berikutan itu, katanya, dua murid dengan membawa beban peralatan sekolah dan sedikit bekalan makanan terpaksa meneruskan perjalanan bersama guru terbabit dengan berjalan dalam keadaan hujan, mengharungi jalan becak dan berselut untuk menghabiskan baki perjalanan.
Malangnya, dua murid dan dua guru mereka gagal sampai destinasi pada hari sama berikutan hari sudah malam serta hujan lebat, menyebabkan mereka terpaksa menumpang teduh dan bermalam di pondok kebun penduduk Magandai.
Moniq yang bersama dengan dua murid itu menceritakan mereka tiada pilihan lain, kecuali bermalam di hutan memandangkan baki perjalanan masih terlalu jauh.
“Kami tidak akan bermalam di perjalanan jika jalan menuju SK Magandai berkeadaan baik.
“Nasib dua murid masih kecil itu baik kerana ada orang dewasa bersama mereka dalam perjalanan itu,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya.
Beliau berkata, pagi keesokannya mereka berempat meneruskan perjalanan dengan ditemani hujan yang tidak henti.
“Kami terpaksa berpayung sepanjang perjalanan dengan pakaian penuh lumpur,” katanya.
Moniq menyifatkan dua murid SK Magandai itu terlalu kecil untuk menanggung kesulitan seperti itu, namun tiada pilihan selain menempuh apa saja yang ada di hadapan demi untuk mencari ilmu.
“Luluh hati saya melihat mereka berjalan jauh untuk kembali ke sekolah. Semoga murid ini tetap bersemangat untuk belajar dan rajin datang sekolah, walaupun terpaksa melalui keadaan yang cukup sulit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap jalan menuju SK Magandai itu dapat diperbaiki segera sebaik cuaca baik bagi memastikan keselesaan penduduk menggunakan satu-satunya laluan keluar masuk itu. – Info X