SANDAKAN: Polis menahan dua lelaki dipercayai bersekongkol dengan ah long bagi melakukan ugutan termasuk mengunci pagar dan menyimbah cat rumah peminjam.
Kedua-dua berusia 19 dan 25 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di Taman Sejati, di sini, pagi kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, tangkapan kedua-dua suspek itu dijalankan selepas menerima aduan daripada seorang mangsa selepas pagar depan rumahnya dikunci serta disimbah cat merah di Taman Bahagia, disyaki perbuatan khianat, pada 16 Mei lalu.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang online “ah long” mahu menuntut hutang daripada mangsa.
“Ah long telah mengupah suspek untuk melakukan jenayah ini dan suspek mula beroperasi sejak akhir tahun lalu dengan menumpukan mangsa di sekitar daerah ini dan Lahad Datu.
“Dengan kejayaan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan lima kes yang disyaki dilakukan oleh suspek,” katanya.
Mohd Hamizi berkata, semakan rekod jenayah juga mendapati suspek berusia 35 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kedua-dua suspek direman sehingga 4 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran skim pinjaman selain syarikat perbankan dan meneliti perjanjian sebelum membuat sebarang pinjaman dari ah long atau pemberi wang tanpa lesen.
“Jangan sewenangnya muat turun aplikasi yang mencurigakan. Disamping itu, sentiasa menukar semua kata laluan perbankan internet, akaun e-wallet dan media sosial sebagai langkah keselamatan. – Info X