Search

Tindakan pantas bomba berjaya elak kebakaran merebak

May 31, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran daripada merebak berjaya menyelamatkan puluhan rumah atas air Kampung Sembulan Baru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, sebuah rumah musnah sepenuhnya dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.33 pagi sebelum dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 23 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, operasi memadam kebakaran dilakukan menggunakan sumber air daripada jentera.

“Anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran dan mengambil masa hampir 20 minit sebelum api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 10.47 pagi.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 12.35 tengah hari dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat. – info X