TAWAU: Dua lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah ditahan, selepas mengamuk dalam dua kejadian berasingan di daerah ini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dan 40-an ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian pertama membabitkan suspek lelaki warga tempatan dilaporkan mengamuk di Taman Wawasan, di sini.
“Setiba di lokasi, polis bertindak menahan suspek bagi tujuan pencegahan jenayah dan mengesyaki suspek memasukkan bahan terlarang ke dalam tubuhnya.
“Dalam pada itu juga, polis turut menerima makluman mengenai aduan orang mengamuk di Kampung Buton, di sini.
“Polis segera bergerak ke lokasi dan menahan suspek lelaki warga asing bagi tujuan pencegahan jenayah dan keselamatan penduduk sekitar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Hasil saringan awal ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-duanya positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Info X