Search

Tindakan Tengku Zafrul boleh panaskan suhu politik Kerajaan Madani

June 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR berpotensi meningkatkan suhu politik dalam Kerajaan Madani yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Exco Pemuda BN, Datuk Seri Dr Anil Sandhu, berkata walaupun ia adalah keputusan individu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, ia pasti memberi kesan kepada gabungan parti membentuk kerajaan yang sedang berusaha mengekalkan kestabilan dan kepercayaan rakyat.

Katanya, keputusan individu seperti itu harus menjadi pengajaran kepada rakan dalam Kerajaan Madani agar lebih berhati-hati dalam mencatur barisan pentadbiran negara.

“Tindakan yang dilihat mengejut ini berpotensi meningkatkan suhu politik dalam gabungan yang sedang berusaha mengekalkan kestabilan dan kepercayaan rakyat.

“Kita tidak menafikan hak mana-mana individu untuk membuat keputusan politik tetapi ia mestilah selari dengan prinsip kebertanggungjawaban dan maruah dalam berorganisasi.

“Melepaskan parti tetapi kekal dengan jawatan adalah isyarat yang salah kepada rakyat dan memberi gambaran bahawa jawatan lebih diutamakan berbanding kesetiaan dan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas keputusan Tengku Zafrul yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan berhenti daripada menjadi ahli UMNO untuk menyertai PKR pada Jumaat.

Anil yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, berkata UMNO membuka ruang seluas-luasnya kepada Tengku Zafrul sejak beliau mula-mula diserap ke dalam politik arus perdana.

Jelasnya, tindakan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO menunjukkan segala peluang yang diberi dan kepercayaan yang disemat kepada beliau sebelum ini, tidak dihargai dengan sewajarnya.

“Kami di peringkat Pemuda UMNO melihat perkara ini sebagai satu tamparan tetapi juga satu pengajaran.

“Kita harus terus kukuh, memperkemas barisan dan belajar untuk tidak terlalu mudah memberi ruang kepada oportunis politik bertopeng profesionalisme.

“Senator untung, UMNO rugi.
Jawatan tanpa kerusi, tapi bukan tanpa agenda, politik bukan sekadar pencapaian peribadi, tapi tanggungjawab kolektif,” katanya.

Anil berkata, keputusan Tengku Zafrul pastinya menimbulkan pelbagai persoalan dan reaksi dalam kalangan ahli parti serta penyokong akar umbi yang selama ini melihat beliau sebagai antara tokoh bukan politik yang diberikan kepercayaan penuh oleh UMNO untuk mengangkat suara kerajaan di peringkat Persekutuan.

Katanya, Tengku Zafrul adalah seorang senator yang sangat bertuah, tidak pernah memenangi sebarang kerusi Parlimen, namun berjaya dilantik sebagai menteri penuh, sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah politik tanah air.

“Dalam tempoh menjadi Menteri Kewangan dan kemudiannya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, beliau turut diberikan peruntukan yang besar, walaupun tidak mewakili mana-mana kawasan pilihan raya secara langsung yang mana sepatutnya Ahli Parlimen lain boleh menyandang jawatan itu.

“Jawatan menteri yang disandang beliau selama ini adalah berdasarkan kapasiti UMNO sebagai salah satu komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan.

“Maka, dengan pengumuman keluar parti, adalah lebih wajar dan terhormat sekiranya beliau juga mengambil langkah meletakkan semua jawatan yang disandang atas tiket UMNO,” katanya. – Info X