Search

2 lelaki proses air ketum ditahan

August 11, 2024

Info X Reporters

RANAU: Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki memproses air ketum dipercayai untuk dijual kepada pembeli di sekitar kawasan berkenaan di sini, kelmarin.

Kedua-dua lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Tapis oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mursalin Mahmud berkata, serbuan pertama membabitkan tangkapan seorang lelaki berusia 34 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Matan, di sini.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, suspek sedang berada di dapur rumah berkenaan.

Botol berisi air ketum dan peralatan memproses air ketum dirampas dalam Ops Tapis Di Ranau. – Foto/IPD Ranau

“Hasil pemeriksaan, menemukan peralatan untuk memasak air ketum, 13 botol berisi air warna hijau gelap disyaki air ketum.

“Turut dirampas kira-kira satu kilogram daun ketum yang telah diproses,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mursalin berkata, hari yang sama, pasukan serbuan menahan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun di Kampung Dumpiring, Kundasang.

Menurutnya, ketika serbuan menemukan 23 botol air minuman 1,500 mililiter digunakan bagi menyimpan air mengandungi cecair warna gelap disyaki air ketum.

Botol berisi air ketum yang dirampas anggota polis IPD Ranau. – Foto/IPD Ranau

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Ranau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – Info X