PENAMPANG: Isu 40 peratus hasil Sabah diharap dapat diselesaikan sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Harapan itu disuarakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang turut berharap semua isu tertangguh berkaitan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perlembagaan turut diselesaikan.
Katanya, selain perkara berkaitan 40 peratus hasil Sabah, antara perkara lain yang turut dituntut ialah hak autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan.
Jelasnya, UPKO tidak berputus-asa selagi usaha ke arah merealisasikan tuntutan itu belum terlaksana, sebaliknya akan terus mencari kaedah terbaik untuk Sabah mendapatkan semula haknya.
“Sebab itu saya berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor beberapa hari lalu untuk kita bincang perkara ini.
“Mudah-mudahan sebelum Hari Malaysia, jawatankuasa teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan membuat keputusan khas untuk perkara yang masih tertangguh di Sabah.
“Ia bukan hanya isu 40 peratus dan semakan pemberian khas yang menjadi penyelesaian secara interim tetapi juga bidang autonomi kesihatan dan pendidikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen UPKO 2024, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata beliau berusaha untuk mendapatkan satu perbincangan terbaik berkaitan perkara itu kerana ia membabitkan antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.
“Suara saya di Kabinet itu hanya mewakili suara parti saya, tapi ‘submission’ itu perlu dari kerajaan negeri. Dalam perlembagaan jelas ia adalah di antara kerajaan kepada kerajaan.
“Saya berusaha mendapatkan satu perbincangan spesifik mengenai perkara itu dan ia adalah sumbangan saya sebagai wakil Sabah dalam Kabinet Persekutuan.
“Mudah-mudahan ada penyelesaian dan kalau bukan sebelum Hari Malaysia ini, mudah-mudahan satu hari nanti. Tapi selagi saya dalam Kabinet, saya ingin isi dengan perbincangan yang berkualiti untuk pelaksanaan MA63,” katanya.
Katanya, UPKO akan menggunakan semua platform yang ada terlebih dahulu bagi merundingkan isu berkaitan MA63 sepanjang tempoh kerajaan Persekutuan sekarang sebelum memikirkan kaedah lain termasuk melalui tindakan perundangan. – Info X