Search

2 lelaki terjun laut, tinggalkan bot sarat muatan petrol

February 11, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Dua lelaki bertindak terjun ke laut meninggalkan bot laju yang sarat dengan muatan 1,000 liter petrol bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).

Bot laju itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota PPM Semporna ketika membuat rondaan di kawasan Laut Bulipatuid, kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika menghampiri bot berkenaan kelihatan dua lelaki terjun dan menghilang diri.

“Usaha mencari suspek dilakukan namun tidak berjaya menemui kedua-dua suspek kerana keadaan gelap.

“Pemeriksaan ke atas bot itu menemui 40 gelen dan setiap gelen berisi 25 liter petrol,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bot sarat muatan petrol ditahan PPM Semporna. – Foto/PPM

Menurutnya, semua petrol berkenaan disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Bot bersama muatan dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X