TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengubah suai bahagian belakang kenderaan dengan menyimpan tangki tambahan disyaki untuk menyeludup diesel ‘mengundang padah’ apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).
Suspek terbabit yang memandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser ditahan pasukan PPM Tawau ketika keluar dari sebuah stesen minyak di Jalan Sin Onn, di sini, kira-kira jam 10.40 malam semalam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika menjalankan rondaan terkesan sebuah kenderaan yang mencurigakan keluar dari stesen minyak di jalan berkenaan.
“Pasukan PPM kemudian mengekori kenderaan Toyota Land Cruiser sebelum bertindak menahan di Jalan Sin Onn berhadapan sebuah premis.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui sebuah tangki tambahan yang diubah suai untuk menyimpan minyak diesel di bahagian belakang kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membawa minyak diesel berkenaan.

“Kenderaan dan minyak diesel dianggarkan 800 liter bernilai RM1,720 dirampas. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM68,720.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan. – Info X