Search

2 rumah musnah dalam kebakaran

September 11, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Dua rumah termasuk rumah pekerja membabitkan tiga pintu musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 6, Lumadan, di sini, malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.57 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 Kilometer dari balai bomba.

“Sebuah rumah pekerja tiga pintu dan sebuah rumah berdekatan jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dengan satu aliran, dua pancutan dari sumber air terbuka (parit) menggunakan pam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad berkata, operasi terkawal pada jam 9.24 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Seterusnya pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 10 malam.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X