Search

Penagih digalak dapatkan rawatan sukarela tanpa tindakan di PUSPEN

September 11, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Individu mengalami ketagihan dadah digalak datang mendapatkan rawatan pemulihan secara sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) berhampiran.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata tiada sebarang tindakan akan diambil jika datang mendapatkan rawatan pemulihan secara sukarela.

“Datanglah ke PUSPEN berdekatan di kawasan masing-masing.

“Selepas melalui penilaian, pegawai pemulihan kita akan menentukan sama ada seseorang klien itu bakal ditempatkan di PUSPEN atau dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Warga PUSPEN Papar, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar (empat kanan) meninjau kemudahan asrama PUSPEN Papar.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Khairul Anwar Bachok dan Pengarah PUSPEN Papar, Roswati Apin.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, lebih 60,000 klien kini sedang menjalani rawatan serta pemulihan dalam komuniti di seluruh negara.

Katanya, proses pemulihan dalam komuniti sudah lama dilaksanakan AADK dan bukanlah suatu pendekatan baharu.

“Pemulihan dalam komuniti ini bermaksud mereka berada di dalam masyarakat.

“Kesemua klien ini akan melalui program-program yang disusun rapi dengan kurikulum sedia ada.

Shamsul Anuar (kiri) menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Warga PUSPEN Papar.

“Klien-klien ini berada di bawah pemantauan sebanyak 108 pejabat AADK daerah serta pusat rawatan dan pemulihan komuniti.

“Melihat jumlah klien dalam komuniti ketika ini sudah mencecah lebih 60,000 orang, kita berharap semakin ramai yang datang untuk menjalani pemulihan,” katanya. – Info X