KOTA KINABALU: Kerajaan negeri, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) memperoleh 20 peratus kepentingan penyertaan dalam Perjanjian ‘Farm-out’ 2011 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) North Sabah EOR susulan pemeteraian Perjanjian Farm-Out (FOA) bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara pada Isnin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan perkembangan itu sebagai cerminan strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor tenaga Sabah melalui pelaburan berkualiti tinggi dan kerjasama erat dengan PETRONAS.
“Dengan peluang yang kini semakin berkembang di seluruh negeri dari Pantai Barat hingga Pantai Timur, kita mengalu-alukan pelabur bereputasi untuk bekerjasama bagi memastikan manfaat yang mampan dan berkekalan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen-dokumen sempena memperingati kerjasama di antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS.
Pengambilalihan itu yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 adalah susulan kepada Perjanjian Dasar Induk (HOA) yang ditandatangani di antara SMJE dan PCSB pada November 2025, sekali gus membuka laluan kepada transaksi muktamad hari ini.
Hajiji berkata, ia adalah pengambilalihan huluan kedua SMJE sejak menyertai PSC Samarang pada April 2023, yang seterusnya mengukuhkan peranan sebagai pemain strategik dalam landskap minyak dan gas Sabah.
Katanya, North Sabah EOR PSC merangkumi empat medan minyak yang sedang beroperasi, terletak di perairan cetek pada kedalaman kira-kira 70 meter di luar pesisir Kota Belud.
“Aset ini terdiri daripada 20 platform luar pesisir yang dihubungkan oleh saluran paip sepanjang 143 kilometer berdiameter 24 inci untuk menyalurkan minyak mentah ke Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT),” katanya.
Ketua Menteri berkata, selepas transaksi itu, SMJE akan memegang 20 peratus kepentingan rakan bukan pengendali, manakala SEA Hibiscus Sdn Bhd kekal sebagai Pengendali dengan 50 peratus kepentingan penyertaan, manakala PCSB mengekalkan 30 peratus pegangan.
“Langkah ini dijangka meningkatkan peruntukan minyak mentah SMJE, dengan jumlah pengangkutan kargo meningkat daripada 4.7 kargo pada 2025 kepada 7.0 kargo pada 2026, sekali gus memperkukuh aliran hasil dan kebolehpercayaan bekalan untuk Sabah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi SMJE, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata North Sabah adalah aset pengeluaran strategik, menjadikan penyertaan SMJE sebagai tanda peranan negeri yang semakin matang dalam akti viti huluan.
“Langkah ini menjamin nilai jangka panjang, membina keupayaan komersial, dan memastikan lebih banyak manfaat disalurkan secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.
Di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah ketika ini, katanya SMJE terus mempercepat penciptaan nilai melalui perkongsian strategik, penglibatan tempatan dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab.
Terdahulu, satu pertukaran dokumen berlangsung bagi Perjanjian Dasar Induk (HOA) di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC) untuk Kluster Mutiara.
HoA itu menetapkan rangka kerja bagi Perjanjian Jualan Gas (GSA) masa hadapan bagi memudahkan pembangunan kluster itu yang disasarkan pada suku pertama 2029.
Selain itu, pertukaran dokumen turut dilakukan bagi PSC Kluster Permata yang terletak di luar pesisir Sabah di antara PETRONAS dan Bridge Petroleum Limited, sebuah Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) yang baru dilantik. – Info X