KOTA KINABALU: Lebih 20,000 tetamu memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.
Majlis tahunan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah Tan Sri Datuk RM Jasni.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag yang tiba pada jam 10.15 pagi, turut menyampaikan duit raya kepada 100 orang asnaf.
Beliau kemudian diiringi Timbalan Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya bersama jemaah menteri negeri meluangkan masa beramah mesra dengan pelbagai lapisan rakyat yang hadir pada rumah terbuka itu.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan kenamaan yang lain.
Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu Hari Raya daripada artis tempatan Sabah. – Info X