Search

Suami isteri maut kemalangan di Kota Belud

April 14, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud, di sini, malam ini.

Mangsa Khaysar Abdul, 28, dan isteri Siti Emma Ernani Asmada, 28, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 7.42 malam.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Suffian Aban digerakkan ke tempat kejadian sejauh 16 kilometer dari balai.

Keadaan kereta dinaiki pasangan suami isteri yang rosak teruk selepas terbabit kemalangan di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud. – Foto/Bomba

“Kemalangan membabitkan keteta jenis Proton Wira dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Revo. Terdapat dua mangsa tersepit dalam Proton Wira.

“Kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa. – Foto/Bomba

Menurutnya, kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Pemandu dan penumpang Toyota Revo dilaporkan selamat.

“Seterusnya pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 9 malam. – Info X