KENINGAU: Seorang lelaki yang hilang ketika mandi di Sungai Pagalan, di sini, semalam, ditemui meninggal dunia, hari ini.
Mangsa, Mexweddle Patrick, 30, ditemui orang awam pada jam 7.41 pagi di sekitar lokasi selepas disedari hilang sejak 18 jam lalu.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.56 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Herwin Hanafiah, terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan operasi terus melancarkan operasi mengesan mangsa bersama pasukan polis yang turut membantu di lokasi kejadian.
“Mangsa akhirnya ditemui orang awam dan, disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membantu mengambil mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan kira-kira jam 8.57 pagi. – Info X