KOTA KINABALU: Perkarangan Masjid Negeri Sabah, Sembulan, bergema dengan laungan solidariti hari ini, apabila sekumpulan kira-kira 200 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah berhimpun bagi membantah tindakan zalim rejim Zionis menahan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Gaza.
Himpunan yang berlangsung dalam suasana aman itu dianjurkan sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Malaysia yang masih ditahan, selain menzahirkan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.
Antara NGO yang menyertai perhimpunan berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ikatan Penulis Sabah (IPS), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Wanita Impian Negeri Sabah, Majlis Belia Sabah, IKRAM, MyCare, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Khidmat Malaysia.

Peserta himpunan turut membawa bendera Palestin sebagai simbol perjuangan, selain melaungkan kecaman terhadap kekejaman Israel.
Sepanjang perhimpunan, keadaan terkawal dengan pemantauan pihak polis.
Presiden IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin berkata, himpunan itu adalah suara masyarakat Sabah yang mahu menunjukkan solidariti kepada sahabat-sahabat dari Malaysia dan negara lain yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

“Kami mahu dunia tahu bahawa Bandaraya Kota Kinabalu, malah Sabah secara keseluruhan, berdiri teguh bersama saudara-saudara kita di Palestin.
“Isu Palestin bukan hanya isu bangsa atau agama, tetapi isu sejagat yang menyentuh kemanusiaan,” katanya kepada media.
Menurutnya, ramai penulis Sabah sudah menzahirkan sokongan melalui penulisan di media sosial sebagai usaha kecil tetapi penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Kami kecewa dengan penahanan aktivis di perairan antarabangsa kerana tindakan itu bercanggah dengan undang-undang laut antarabangsa (UNCLOS).
“Mereka tidak bersalah kerana hanya membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza,” katanya.

Awang Abdul menegaskan NGO di Sabah akan terus menggerakkan pelbagai kempen kesedaran, manakala IPS sendiri akan meneruskan usaha melalui karya penulisan sebagai medium menyebarkan solidariti.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Kementerian Luar mengesahkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. – Info X