Search

Pembubaran DUN: Tunggu makluman Pejabat Media dan Komunikasi JKM

October 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri (JKM) hari ini menjelaskan berhubung spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tersebar sejak malam tadi.

Menerusi satu kenyataan, pejabat itu menjelaskan bahawa pembubaran DUN akan dimaklumkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi JKM apabila tiba masanya.

“Memandangkan banyak pertanyaan daripada pihak media berkaitan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sukacita kami ingin memaklumkan bahawa jemputan untuk sidang media berkaitan pembubaran DUN Sabah oleh YAB Ketua Menteri, akan oleh Pejabat Media dan Komunikasi JKM apabila tiba masanya.

“Kerjasama daripada pihak tuan, puan amat dihargai,” kata kenyataan itu.

Spekulasi mengenai pembubaran DUN tercetus selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilapor mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun. Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, lewat petang semalam.

Pertemuan itu disifatkan sebagai petanda mengenai pembubaran DUN berikutan tempoh DUN sekarang yang sudah berada di penghujungnya.

Susulan pertemuan itu juga, ada pihak menyebarkan khabar angin kononnya DUN dibubarkan hari ini, namun sehingga jam 4 petang ini tiada sebarang makluman berhubung perkara itu.

Kenyataan Pejabat Media dan Komunikasi JKM itu menjelaskan bahawa tiada pembubaran DUN pada hari ini dan mungkin sepanjang minggu ini.

Bagaimanapun, jika berlaku pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dalam tempoh terdekat, ia bukan lagi kejutan kerana sememangnya perlu dilakukan berikutan sudah hampir tamat dengan tarikh akhir DUN sekarang pada 11 November depan. – Info X