TAWAU: Perjalanan pulang seorang pelajar perempuan dari sekolah bertukar detik hitam apabila dia dicabul pemandu van yang sepatutnya menghantarnya pulang, di Merotai, semalam.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh suspek sebelum menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarga.
Bimbang keselamatan anak, keluarganya segera membawa mangsa membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai melancarkan operasi bagi mengesan suspek.
“Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 32 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan, pada hari yang sama.
“Turut dirampas sebuah van yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – Info X