KENINGAU: Kira-kira 200 tetamu hadir sempena Majlis Silaturrahim dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Masyarakat Peranakan Jawa Sabah (PERJASA), di sini, baru-baru ini.
Berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Masjid, antara yang hadir termasuklah Exco PERJASA dan masyarakat peranakan jawa bersama keluarga membabitkan beberapa daerah termasuklah Keningau, Beaufort, Papar, Putatan, Tawau, Kota Kinabalu, Kuala Penyu, Sipitang dan Kudat.

Setiausaha PERJASA, Kasbulah Mangun berkata, penganjuran majlis seumpama itu dilihat mampu mengeratkan lagi hubungan antara ahli persatuan dan masyarakat peranakan Jawa yang ada di seluruh negeri Sabah.
“Majlis ini bukan julung kali diadakan dan ianya sudah menjadi antara program tahunan kami di persatuan ini.
“Kita mahu lebih mengenali sesama ahli dan mungkin menerusi program seumpama ini persatuan mampu menarik lebih ramai masyarakat peranakan Jawa yang ada di Sabah untuk menjadi ahli PERJASA.

“Selain majlis ini, kita turut merancang beberapa program lain sepanjang tahun 2022 seperti lawatan kebudayaan ke Surabaya dan Jogjakarta dan kursus pemantapan pengurusan kepada ahli jawatan kuasa (AJK), ahli dan semua pengusaha restoran masakan Jawa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub.

Dalam majlis sama, turut disampaikan sumbangan duit raya kepada 80 kanak-kanak setempat sekitar Kampung Masjid selain penyampaian hamper kepada tetamu yang memenangi cabutan tiket bertuah. – Info X