KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu di media sosial dan platform digital berkaitan isu krisis tenaga global.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan siasatan itu, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan untuk membantu siasatan lanjut.
Menurut kenyataan itu, setakat ini enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan berkenaan.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat tidak sahih.
Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan komunikasi serta tidak menyalahgunakan platform digital untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. – Info X