KOTA KINABALU: Tindakan pantas tiga lelaki menjadi penyelamat apabila berjaya mengeluarkan seorang doktor wanita selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam parit besar di Jalan Lintas Kepayan, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang memandu Perodua Myvi dipercayai dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menuju ke Lido sebelum melanggar bahagian belakang sebuah trak tunda.

Impak pelanggaran menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan, terbabas ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit besar di tepi jalan.
Pemandu trak tunda yang menyedari kejadian itu segera turun untuk membantu dan cuba memanggil mangsa, namun tiada sebarang tindak balas.
Situasi cemas itu bagaimanapun menarik perhatian tiga lelaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan apabila mereka tanpa berlengah terus terjun ke dalam parit bagi menyelamatkan mangsa.

Ketiga-tiga lelaki itu kemudian berjaya menarik keluar mangsa dari dalam kenderaan yang hampir ditenggelami air.
Mangsa yang terselamat kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Info X