Search

23.9 tan CPO bernilai RM1.15 juta dirampas

August 26, 2025

Info X Reporters

KUNAK: Cubaan menyembunyikan minyak sawit mentah (CPO) di sebuah stor haram, di sini gagal apabila kegiatan itu berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), semalam.

Dalam operasi bersepadu kira-kira jam 2.30 petang, pasukan operasi menemui sebanyak 23.9 metrik tan CPO disorokkan di premis berkenaan selain turut menyita beberapa kenderaan dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, dua lelaki tempatan berusia 25 dan 38 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,152,070.00.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dua lelaki ditahan selepas pasukan operasi menyerbu stor haram yang menyembunyikan minyak sawit mentah (CPO) di Kunak.

Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah 4 komited membanteras aktiviti penyelewengan minyak sawit yang jelas merugikan negara.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan kegiatan seumpama itu bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabit. – Info X