Search

Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah lancar kempen anti buli

August 26, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah melancarkan kempen kesedaran buli bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya perbuatan itu.

Pengerusinya, Mohd Norizuan Awang, berkata kempen bertema ‘Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami Hero Anti Buli’ itu adalah lanjutan daripada program Solidariti Aman Beaufort bagi menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata, melalui kempen itu pihaknya merancang program berasaskan pendidikan dan kesedaran, antaranya pertandingan pidato dan ceramah kesedaran buli di sekolah-sekolah.

“Kempen ini lahir daripada kesedaran bersama selepas tragedi yang menimpa arwah adik Zara, insan kecil yang menjadi mangsa buli serta kesinambungan daripada Solidariti Aman Beaufort yang bertujuan menuntut keadilan buat arwah adik Zara serta bertekad dan berpadu menoktahkan budaya buli yang dianjurkan oleh pertubuhan ini pada 16 Ogos lalu.

“Kempen ini digerakkan khusus untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya buli serta mengajak semua pihak menanam nilai empati dalam kehidupan seharian.

“Pendekatan kempen ini berasaskan pendidikan dan kesedaran, antaranya pertandingan pidato, ceramah kesedaran buli di sekolah-sekolah serta melalui penghasilan bahan kreatif seperti video pendek, animasi dan poster yang akan disebarkan di media sosial serta pelbagai saluran komunikasi,” katanya, di sini.

Sebagai permulaan, katanya program dimulakan dengan aktiviti walkabout di sekitar Pekan Beaufort, baru-baru ini.

Mengedar risalah kempen anti buli di pekan Beaufort.

Beliau berkata, menerusi program itu sukarelawan mengedarkan risalah anti buli, risalah penerangan kempen dan ‘button badge’ kepada masyarakat terutama golongan remaja dan belia sebagai simbol sokongan terhadap usaha membanteras buli.

“Saya ingin menegaskan bahawa buli bukanlah isu kecil, tetapi satu jenayah sosial yang boleh meranapkan masa depan mangsa serta meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada keluarga dan masyarakat.

“Melalui kempen ini, saya menyeru seluruh masyarakat agar berani bersuara, menolak perbuatan buli, dan bersama-sama membina budaya empati serta hormat-menghormati.

“Saya yakin usaha untuk menoktahkan budaya buli tidak boleh dipikul oleh satu pihak saja. Ia menuntut kerjasama menyeluruh daripada ibu bapa, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan,” katanya.

Dengan semangat solidariti, Mohd Norizuan mengajak orang ramai untuk bersama-sama menjadi ‘Hero Anti Buli’ demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berperikemanusiaan untuk generasi akan datang. – Info X