KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mahu kepemimpinan PKR mengambil langkah berani mencalonkan lebih ramai anak muda pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Naib Ketua AMK Sabah, Mohd Mirza Muazzam, berkata perkara itu sejajar dengan perkembangan semasa yang menyaksikan semakin ramai anak muda bersemangat untuk menjadi pemimpin.
Katanya, meletakkan ramai calon dari kalangan anak muda juga wajar berikutan jumlah mereka yang berusia 40 tahun ke bawah lebih separuh daripada rakyat Sabah pada hari ini.
“Menjelang PRN17, saya melihat dengan jelas gelombang semangat anak muda yang mahu tampil, memimpin dan membawa perubahan.
“Ini bukan lagi masanya untuk mereka hanya menjadi penonton. Anak muda sudah bersedia menjadi pemain utama di pentas politik negeri.
“Lebih separuh daripada rakyat Sabah hari ini berusia di bawah 40 tahun, satu realiti yang tidak boleh dipandang ringan.
“Jika kita benar-benar mahu membina masa depan Sabah yang makmur dan inklusif, suara anak muda mesti berada di meja pembuat keputusan, bukan sekadar bergema di luar pagar,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Cabang Kinabatangan, sehubungan itu menyeru kepemimpinan PKR supaya berani mengetengahkan calon muda yang berkelayakan, berwibawa dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat.
Jelasnya, calon yang memahami denyut nadi rakyat, mampu membina jaringan sokongan akar umbi yang kukuh dan bijak menyampaikan dasar dalam bahasa yang mudah difahami serta dekat di hati orang ramai perlu ditekankan.
“Ini bukan soal umur semata-mata, tetapi soal keberanian, visi dan keupayaan. Ramai di antara mereka membuktikan kemampuan melalui aktivisme sosial, gerakan reformasi dan kerja lapangan bersama masyarakat.
“Gabungan tenaga serta idealisme anak muda dengan kebijaksanaan kepemimpinan sedia ada adalah kunci kepada pentadbiran yang segar, berani dan berdaya tahan.
“Inilah masanya untuk kita memperbaharui naratif pembangunan negeri dan melangkah keluar daripada kerangka lama,” katanya.
Beliau berkata, jika PKR mahu tampil sebagai parti masa depan, ia mesti berani meletakkan masa depan itu di bahu generasi muda.
Jelasnya, itulah langkah strategik, pragmatik dan berani yang akan memperkukuh keyakinan rakyat bahawa PKR benar-benar memahami aspirasi mereka. – Info X