KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mempersoalkan kebenaran kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kejayaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disebutnya sebelum ini.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Justin Wong, berkata jika benar apa yang dikatakan Hajiji, mengapa Sabah terkeluar daripada senarai enam penyumbang utama KDNK Negara buat pertama kali dalam sejarah negeri ini.
Katanya, mengikut Laporan KDNK Malaysia Mengikut Negeri 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah terkeluar daripada enam Negeri Penyumbang Utama KDNK Negara selepas dipintas negeri Perak.
Beliau berkata, ia berikutan prestasi buruk Sabah yang hanya mampu menyumbang sebanyak 5.1 peratus, iaitu susut 0.2 peratus berbanding 5.3 peratus pada 2023.
“Sebagai rekod, sumbangan KDNK Sabah kepada negara terus jatuh sejak GRS menjadi kerajaan iaitu 5.7 pada 2021), diikuti 5.4 peratus (2022), 5.3 peratus (2023) dan 5.1 peratus (2024) sekali gus mengakibatkan penyusutan Pertumbuhan Ekonomi Sabah kepada hanya 1.1 peratus berbanding 3.7 peratus pada 2022.
“Selain itu, laporan tersebut turut mendedahkan kemerosotan beberapa sektor lain seperti Pertanian serta Perlombongan dan Pengkuarian.
“Penanda aras naik atau turun Ekonomi Sabah harus dinilai secara keseluruhan melalui statistik KDNK yang dikeluarkan oleh DOSM di bawah kendalian Kementerian Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung itu mempersoalkan kenyataan Hajiji yang berulang kali mengatakan Kerajaan GRS-PH tidak gagal kerana berjaya memulihkan ekonomi Sabah daripada era pandamik COVID-19.
Beliau turut mempertikaikan kenyataan Hajiji yang berbangga dengan peningkatan kutipan hasil mencecah RM7 bilion sebagai satu lagi bukti kejayaan kerajaan pimpinannya.
Justin mendakwa kerajaan GRS gagal mengatasi pencapaian Warisan pada 2019 dalam banyak sektor ketika Sabah dipimpin oleh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seperti prestasi nilai KDNK yang menjadi penentu kedudukan Sabah dalam senarai enam Negeri Penyumbang Utama Ekonomi Negara.
Katanya, rekod yang dicatat Kerajaan Warisan sebanyak RM85.6 bilion sebelum ini juga kekal tertinggi sehingga kini berbanding RM84.3b yang direkodkan kerajaan GRS pada 2024.
“GRS juga gagal mencapai unjuran yang ditetapkan dalam pelan pembangunan mereka sendiri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 sebanyak RM88.5 bilion,” katanya.
Dari segi pelaburan luar negara yang berimpak tinggi, katanya sejak 2021 hingga kini, hanya Kibing Group dan SK Nexilis sahaja yang dapat dilihat
Itupun, katanya bukan atas usaha GRS, tapi dibawa masuk oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Saya juga ingin bertanya kenapa peningkatan Kutipan Hasil Sabah tidak dapat dikekalkan apabila pada 2023 mencatat RM6.96 bilion, tapi jatuh kepada hanya RM6.842 bilion pada 2024 walaupun dibantu Cukai Jualan Negeri (CJN) terhadap produk petroleum yang diwartakan oleh Shafie pada 6 Disember 2018 dan berkuatkuasa pada 1 April 2020?
“Menteri Kewangan, DSP Masidi Manjun mendedahkan hampir 90 perartus GLC Kerajaan Negeri mengalami kerugian, namun rekod Kutipan Hasil Sabah diselamatkan oleh sumbangan dividen RM50 juta SMJ Energy Berhad hasil daripada penjualan minyak mentah yang berterusan.
“Penting untuk rakyat Sabah tahu, kesemua negeri di Malaysia berjaya pulih daripada kesan ekonomi merundum pada 2020 akibat COVID-19 namun prestasi Sabah antara empat kelompok di bawah berbanding negeri-negeri yang lain.
“Maka tidak adil Hajiji umumkan kepada rakyat Sabah bahawa ia adalah bukti kejayaan Kerajaan GRS-PH, iaitu kerana berjaya meningkatkan ekonomi Sabah dari era pandemik.
“Namun kesan terbesar yang tidak disedari oleh kita semua ialah, Sabah kini bukan lagi antara enam kuasa ekonomi negara buat pertama kali sejak pembentukan Malaysia,” katanya.
Justin berkata, ia adalah bukti jelas kegagalan Kerajaan GRS-PH yang cuba disembunyikan oleh Hajiji dan sekutunya. – Info X