Search

‘Dengar nuklear terbayang bom, tapi kita bahas bukan tentang bom’ – Madius Tangau

August 25, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, menegaskan kepentingan pelaburan dalam tenaga nuklear sebagai langkah strategik untuk menyokong perkembangan Revolusi Kecerdasan Buatan (AI) serta memastikan bekalan tenaga yang bersih dan mampan di Malaysia.

Dalam ucapan perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, Madius menjelaskan bahawa pelaburan dalam tenaga nuklear adalah penting bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, terutama dalam sektor pusat data yang kritikal untuk teknologi AI.

Beliau menekankan bahawa sektor itu memerlukan sumber tenaga yang besar dan berterusan bagi menyokong operasi 24 jam dan tenaga nuklear dilihat dapat memberikan penyelesaian jangka panjang untuk cabaran ini.

“Kita tahu bila dengar ‘nuklear’ cepat terbayang bom. Tetapi yang kita bahaskan dalam RUU hari ini bukan tentang bom.

“Dengan kemajuan pesat dalam teknologi AI, Malaysia perlu memastikan kita mempunyai sumber tenaga yang berdaya saing dan tidak bergantung sepenuhnya pada tenaga fosil yang semakin menurun.

“Tenaga nuklear menyediakan tenaga bersih serta memberi kestabilan bekalan tenaga untuk operasi pusat data yang tidak pernah berhenti,” katanya.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu turut mengambil contoh langkah negara seperti Amerika Syarikat dan China yang memanfaatkan tenaga nuklear untuk memenuhi permintaan tenaga yang tinggi, terutama bagi sektor pusat data.

“Sebagai contoh, Amerika Syarikat menggunakan nuklear untuk menghasilkan kira-kira 15 peratus daripada tenaga mereka yang diperlukan untuk pusat data, manakala China menggunakan sekitar 10 peratus daripada kapasiti tenaga mereka untuk tujuan yang sama.

“Malaysia perlu bersiap sedia mengikuti jejak langkah tersebut memandangkan kemunculan Small Modular Reactors (SMR) yang dijangka diterima secara komersial pada 2030-2035 memberikan peluang kepada negara melaksanakan tenaga nuklear dalam skala yang lebih kecil dan terkawal,” katanya.

bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata Malaysia memulakan kajian mengenai tenaga nuklear sejak 1970-an, namun penggunaan tenaga nuklear dalam penjanaan elektrik tidak diteruskan selepas penemuan sumber minyak dan gas.

“Bagaimanapun, saya percaya dengan permintaan yang meningkat dan cabaran dalam sektor tenaga dan teknologi, pelaburan dalam kuasa nuklear adalah penting untuk memenuhi keperluan dalam digitalisasi serta Revolusi AI.

“Ia juga seiring dengan usaha ke arah mencapai Net Zero Carbon pada 2050 sekali gus memastikan Malaysia mempunyai sumber tenaga yang lebih bersih, selamat dan mampan pada masa depan,” katanya. – Info X