SEMPORNA: Cubaan melakukan aktiviti pengeboman ikan berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna selepas merampas 23 guni baja ammonia di perairan Pulau Bum Bum, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, bot ronda ADAL 18 yang sedang melaksanakan Ops Khas Cegah PATI (OCP) Sektor Timur dan Ops Tiris 3.0 mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.2 batu nautika di utara pulau berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 23 guni baja ammonia dengan anggaran berat kira-kira 575 kilogram yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengeboman ikan.
“Semua rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi, Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Bekalan 1961.
Katanya, rampasan itu membuktikan ketegasan Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah berimpak tinggi terhadap ekosistem marin.
“Penggunaan baja ammonia sebagai bahan letupan bukan sahaja satu kesalahan jenayah, malah boleh memusnahkan khazanah dasar laut termasuk terumbu karang.
“Jika semua bahan ini digunakan, impak kerosakan terhadap ekosistem marin amat dahsyat dan sukar dipulihkan,” katanya.
Menurutnya, tindakan berterusan membanteras aktiviti bom ikan juga penting bagi memastikan kelangsungan ekonomi penduduk setempat khususnya sektor pelancongan yang menjadi nadi utama Semporna.

“Dengan usaha ini, kita bukan sahaja melindungi biodiversiti laut, malah menjamin keselamatan perairan untuk generasi akan datang.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 089-782619 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X