TAWAU: Tindakan seorang lelaki menghantar ugutan bunuh melalui aplikasi WhatsApp akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis, pagi tadi.
Suspek berusia 59 tahun yang juga penolong pengurus kewangan ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di hadapan sebuah bangunan sekitar bandar ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, penahanan itu susulan laporan dibuat mangsa berhubung ugutan diterima minggu lalu.
Menurutnya, kejadian berpunca daripada salah faham berkaitan urusan kerja apabila berlaku pertelingkahan antara mangsa lelaki berusia 36 tahun dengan suspek pada 30 April lalu kira-kira jam 11.28 pagi.
“Susulan itu, pada Jumaat lalu kira-kira jam 3.13 pagi, mangsa menerima pesanan suara melalui WhatsApp daripada suspek yang dipercayai mengandungi ugutan serius sehingga menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan dirinya.
“Bimbang dengan ancaman itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, bertindak atas laporan berkenaan, polis berjaya menahan suspek selain merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menghantar mesej ugutan itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu ketika berdepan konflik, sebaliknya menyelesaikan
pertikaian secara profesional dan berhemah.
“Sebarang bentuk ugutan sama ada secara lisan atau melalui media sosial adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan tegas,” – Info X